PNSB MESTI MENYERAHKAN KEUNTUNGAN YANG TIDAK DIISYTIHARKAN KEPADA LEMBAGA HASIL DALAM NEGERIPemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated) hari ini mengarahkan Permodalan Negeri Selangor (PNSB) supaya menyerahkan senarai lengkap faedah dan kemudahan yang diberikan kepada kalangan pekerjanya pada tahun-tahun lepas kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Arahan tersebut dikeluarkan berikutan penemuan bahawa PNSB tidak mengisi borang-borang EA bagi mengisyhtiharkan keuntungan beberapa tahun lalu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim, yang juga pengerusi MBI dan PNSB, berkata langkah tersebut dilakukan bagi memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri tidak mengingkari undang-undang supaya membayar cukai pendapatan.
Selama beberapa tahun PNSB ada memberikan faedah dan keuntungan kepada para pekerjanya – termasuk Pengerusinya, ahli-ahli Lembaga Pengarah – dalam bentuk barangan atau wang tunai, atau dua bentuk pemberian tersebut. Antaranya, kereta dan pemandu, di samping percutian di dalam dan luar negara. Faedah melancong diberikan kepada semua kakitangan manakala kereta berpemandu diberikan hanya kepada Ketua Eksekutif dan Pengarah, kalangan pengurus kanan dan kalangan pengurus.
Sekumpulan penasihat lantikan MBI kini sedang melakukan penilaian terhadap prestasi PNSB. Dalam proses tersebut, didapati pengerusi sebelum ini Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pernah diberikan kereta Toyota Harrier pada tahun 2005 dan disediakan seorang pemandu pada tahun 2006. Beliau menggunakan kesemua faedah sehingga bersara selaku pengerusi PNSB pada Mac 2008. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan ini yang dinyatakan dalam borang EA yang diserahkan oleh PNSB sebelum ini. Juga didapati kemudahan petrol dan penyenggaraan kereta Harrier semuanya ditanggung oleh PNSB.
Dato’ Menteri Besar menyedari tentang keprihatinan kalangan pekerja PNSB sendiri terhadap implikasi kewangan akibat pengurusan PNSB tidak mengisyhtiharkan pendapatan dalam borang EA. Beliau mendesak agar kakitangan PNSB bersabar kerana mereka kini perlu menunggu tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menaikkan tambahan cukai bagi individu yang berkaitan.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR
Updated 11 hours ago -
PEMBERHENTIAN PEKERJA
SHAH ALAM – Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemberhentian Pekerja di Selangor hari ini telah dimaklumkan oleh Pihak UPEN dan Unit ICT Kerajaan Negeri Selangor bahawa pautan laman JobStreet.com telah pun boleh diakses di www.selangor.gov.my. Laman ini menyediakan kemudahan kepada semua pekerja-pekerja yang telah diberhentikan untuk mengisi resume masing-masing bagi mendapatkan peluang pekerjaan yang tersedia. Pada mulanya laman ini akan di akses dalam bahasa inggeris dahulu dan akan disusuli dengan laman dalam versi bahasa melayu sebelum hari pelancaran yang akan diadakan pada 07 Mac 2009.
Kerajaan Negeri Selangor juga sekali lagi menmohon supaya setiap pekerja yang telah diberhentikan untuk melayari laman ini dan seterusnya mendaftar bagi memudahkan proses kemaskini dan bantuan dapat diberikan.
Dalam pada itu, SSIC telah memaklumkan bahawa mereka telah menghantar borang soal selidik kepada semua syarikat di Selangor berkaitan pemberhentian pekerja. 5 buah syarikat telah memberi maklum balas setakat ini berkaitan proses pemberhentian pekerja yang akan dilakukan. Soal selidik juga meliputi kekosongan jawatan yang ada disetiap syarikat untuk tujuan rekod.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam taklimatnya turut memaklumkan kepada Jawatankuasa bahawa program penempatan kepada semua pekerja-pekerja yang telah diberhentikan akan dibuat pada hari Sabtu, 28hb Febuari 2009 di CIAST sek 19, jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang, Shah Alam, Selangor. Proses temuduga dibuat pada hari sama yang melibatkan 25 majikan yang akan menawarkan 5000 kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang. Semua pekerja-pekerja yang telah diberhentikan yang berdaftar dengan Jobmalaysia telah dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
Jawatankuasa juga telah dimaklumkan oleh Kolej WIT, Klang bahawa kolej tersebut sebenarnya telah mengeluarkan seramai 31 ribu tenaga mahir sejak mula beroperasi dan mampu mengeluarkan kira-kira 2000 tenaga mahir dalam setahun. Kolej WIT juga bersedia menerima pekerja-pekerja yang telah diberhentikan untuk mengikuti setiap kursus yang ditawarkan berdasarkan kemampuan operasi kolej bertujuan turut membantu mereka yang telah kehilangan pekerjaan mencari sumber dan peluang yang lain untuk meneruskan kehidupan.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR